Canny Ong Lay Kian | |
---|---|
Kelahiran | Canny Ong Lay Kian 18 Julai 1974 |
Meninggal dunia | 14 Jun 2003 | (umur 28)
Sebab kematian | Dibunuh |
Pusat pendidikan | Universiti California, San Diego |
Pekerjaan | Penganalisis Teknologi Maklumat (IT) |
Pasangan | Brandon Ong (2001-2003; kematiannya) |
Ibu bapa | Ong Bee Jeng (bapa) Pearly Visvanathan Ong (ibu) |
Saudara | Elsie Ong (kakak) |
Canny Ong Lay Kian (18 Julai 1974 - 14 Jun 2003) merupakan seorang penganalisis teknologi maklumat (IT) Malaysia yang menjadi mangsa pembunuhan kejam pada 13 Jun 2003. Mendiang mati dibakar di sebuah lubang/longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003. Canny Ong adalah pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri. Kesnya mendapat perhatian meluas dari media tempatan ketika itu. Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan kes pembunuhan Canny sebagai "kes yang paling lama berlangsung dalam lanskap jenayah Malaysia".
Canny Ong dilahirkan pada 18 Julai 1974 di Ipoh, Perak adalah warga Malaysia yang bekerja sebagai penganalisis teknologi maklumat di San Diego, California, Amerika Syarikat. Ibunya seorang keturunan kacukan Cina dan India, Pearly Visvanathan Ong dan mempunyai seorang kakak yang bernama Elsie Ong. Bapanya, Ong Bee Jeng menghidap kanser dan Ong terbang jauh ke Malaysia menziarahi bapanya yang terlantar sakit.
BY:JOVESLEE
Canny Ong bekerja sebagai penganalisis IT di Amerika Syarikat dengan suaminya Brandon Ong. Mereka kembali seketika ke Malaysia untuk menziarahi bapanya yang sakit. Sehari sebelum pulang ke Amerika Syarikat, pada 13 Jun 2003, beliau keluar untuk makan malam bersama beberapa ahli keluarga dan kawan-kawan rapat di Restoran Monde, Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC) Bangsar, Kuala Lumpur. Sehabis makan, beliau kembali ke kereta di ruang pakir bawah tanah untuk mengambil tiket parkir sementara ibu dan adiknya menanti di mesin Autopay.
Selepas menunggu 20 minit, ibunya Pearly Visvanathan dan kakaknya pergi ke tempat parkir kereta dan mendapati kereta Proton Tiara ungu (plat WFN 6871) hilang. Pita CCTV memaparkan Canny diculik oleh seorang lelaki yang akhirnya dikenal sebagai Ahmad Najib.
Kemudian mayat hangus Canny ditemui dalam lubang 1 meter padu dengan kedua-dua tangan bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu. Mayat dijumpai tertanam di bawah dua tayar berisi simen empat hari kemudian selepas diculik.
Siasatan forensik menjurus kepada penangkapan tukang kabin pesawat MAS, Ahmad Najib Aris, yang berusia 27 tahun. Namun, Ahmad Najib tiada motif yang jelas dan mengaku tidak bersalah. Akhirnya, Mahkamah memutuskan dia dihukum gantung sampai mati pada 2005. Peguam bela bagi Ahmad Najib ialah Rosal Azimin Ahmad, yang juga tinggal di taman perumahan yang sama dan rakan permainan bola sepak yang sama. Baginya, Ahmad Najib seorang yang tenang dan boleh bersosial, bukan suka menyendiri.
Ahmad Najib Aris bukan seorang penganggur dan telah beristeri dan mempunyai dua anak. Dia bekerja sebagai pencuci kabin kapal terbang dan berasal dari Perak dan menetap di Pantai Dalam. Ahmad Najib yang sekadar lulusan Tingkatan Tiga, tergerak untuk menculik Canny Ong kerana melihat penampilannya yang cantik, ramping dan berjalan seorang diri di malam sunyi. Ahmad Najib tahu akan selok belok BSC kerana pernah bekerja di situ.
Pakar kriminalogi dan psikiatri, Dr. Geshina Ayu Mat Saat mengesahkan Ahmad Najib tidak psikotik dan dapat berfungsi seperti biasa. Dia mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan rakan-rakan sejawat dan sejiran.
Pada Februari 2005, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan dia dihukum gantung sampai mati. Pada tahun 2009, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap hukuman mati. Semasa perbicaraan, dia hanya mendiamkan diri dan menangis apabila dijatuhi hukuman gantung.
Pada hari Jumaat, 23 September 2016, sejurus selepas subuh, Ahmad Najib telah dihukum gantung sampai mati oleh polis, mengakhiri kes ini selepas 13 tahun berlaku dan selepas 8 tahun dia dijatuhi hukuman.
Pada 2009, Ahmad Yazid dari Rack Focus Films telah membuat dokumentari pembunuhan kejam terhadap Canny. Astro telah menyiarkan temubual bersama ibu mendiang, Pearly Visvanathan Ong, 63, teman rapat Canny, Noreen Natasha, wartawan pertama yang tampil dengan berita itu, Fay Angela D'Cruz, pakar kriminologi dan psikologi, Dr. Geshina Ayu Mat Saat. Rakaman perbualan turut dilakukan terhadap Timbalan Pendakwa Raya Awam kes tersebut, Datuk Salehuddin Saidin; Timbalan Suprintenden Polis dan Ketua Unit Siasatan Jenayah kes itu, Amidon Adnan; Ketua Bahagian Penyiasatan Jenayah ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abu Bakar Mustafa, peguam bela pesalah, Ahmad Najib Aris, Rosal Azimin Ahmad; Ketua pasukan pertahanan pesalah, Muhammad Haniff Khatri Abdullah dan polis peronda ketika kejadian, Lans Koperal, S.Ravichandran. Temubual dengan pesalah Ahmad Najib telah ditapis lebih awal.
Dokumentari The Murder Of Canny Ong disiarkan pada 13 Disember 2011 pada jam 11 malam di Rangkaian Jenayah dan Penyiasatan (Astro Saluran 732). Siaran ulangannya pada 15 Dis (8:00), 16 Dis (10:00), 17 Dis (08:00) dan 18 Dis 2011 (10:00).
TV3 menerusi rancangan KES: Kronologi. Eksklusif. Siasatan terbitannya turut memaparkan kes pembunuhan Canny.