Perdana Menteri Malaysia ke-9
Jawatan terdahulu
Kabinet Gabungan politik Keluarga
|
Keluarga Malaysia ialah gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-9, Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021. Konsep ini antara lain menyeru rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara bagi menggembeleng tenaga dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Apabila Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri pada 2022, konsep Keluarga Malaysia telah dimansuhkan dan digantikan dengan gagasannya sendiri, Malaysia Madani, pada 2023.
Konsep Keluarga Malaysia pertama kali diuar-uarkan sebagai agenda nasional oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Wan Azizah Wan Ismail pada November 2019 beberapa bulan sebelum krisis politik berlaku. Bagaimanapun, ia diperkenalkan sebagai gagasan secara rasmi oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 22 Ogos 2021. Menurut Ismail Sabri, konsep ini bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh. Konsep ini dipilih kerana "bersifat inklusif, dekat dengan rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang semua ahli keluarga besar negara". Ismail Sabri dalam ucapannya berkata:
"Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,".
Konsep 'Keluarga Malaysia' menggariskan 3 teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri, untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19. Tiga teras utama tersebut ialah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
Meletakkan perpaduan dan keharmonian sebagai asas negara ialah matlamat Keluarga Malaysia. Keberhasilan Kebahagiaan (bahasa Inggeris: Key Happiness Outcome ; KHO) telah digunakan bagi memantau pelaksanaan konsep ini untuk melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ismail Sabri, KHO dan KPI menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik COVID-19 selain akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report yang ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-81.
Menurut Ismail Sabri, Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara dan nilai setiap keluarga ini juga disifatkan sebagai komponen penting demi menentukan jatuh atau bangun Malaysia. Beliau turut memberi jaminan bahawa nasib setiap individu dalam Keluarga Malaysia akan terbela.
Skuad Keluarga Malaysia telah ditubuhkan bagi menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan, untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara. Diterajui oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, skuad ini merupakan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (atau NGO).
Yayasan Keluarga Malaysia dilancarkan pada 23 Oktober 2021 dengan malamat untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 di Malaysia. Melalui yayasan INI, anak-anak Keluarga Malaysia berpeluang memperoleh sokongan terutama dari aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Pas Keluarga Malaysia dilancarkan pada 22 November 2021 bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam dan dikeluarkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Pas ini membolehkan empat individu dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga RM15 sahaja. Menurut Ismail Sabri, "ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor".
Program Jualan Keluarga Malaysia dilancarkan pada 2 Disember 2021 dengan strategi serampang dua mata iaitu membasmi peranan orang tengah dan menawarkan barangan pada harga subsidi demi manfaat rakyat. Ia dilaksanakan di lokasi terpilih dan kekerapannya akan ditambah mengikut kesesuaian dari semasa ke semasa, berbanding perancangan asal dua kali sebulan.
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memuji konsep ini.
Lagu tema gagasan ini, "Keluarga Malaysia" ialah hasil nukilan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa terbitan Yayasan Persahabatan Malaysia (PERMAI) dengan kerjasama Rocketfuel Entertainment. Ia dipersembahkan oleh Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid. Lagu ini diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum semasa Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021.
Pada 2 Januari 2024, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ismail Sabri Yaakob. Seorang sumber berjawatan tinggi mendakwa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan Ismail Sabri pada Ogos 2021.