Kemalangan | |
---|---|
Tarikh | 17 Ogos 2023 |
Ringkasan | Terhempas semasa pendaratan; dalam siasatan |
Tapak kejadian | Elmina, Shah Alam, Selangor, Malaysia 3°10′58.61″N 101°31′0.259″E / 3.1829472°N 101.51673861°EKoordinat: 3°10′58.61″N 101°31′0.259″E / 3.1829472°N 101.51673861°E |
Pesawat | |
Jenis pesawat | Beechcraft Model 390 (Premier I) |
Pengendali | Jet Valet |
Kod pendaftaran | N28JV |
Asal penerbangan | Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Malaysia |
Destinasi | Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Malaysia |
Penghuni | 8 |
Penumpang | 6 |
Anak kapal | 2 |
Kematian | 8 |
Terselamat | 0 |
Di darat | |
Kematian di darat | 2 |
Pada 17 Ogos 2023, sebuah pesawat Beechcraft Model 390 terhempas berhampiran perbandaran Elmina di Shah Alam, Selangor, Malaysia, menyebabkan 10 orang terkorban dalam kejadian itu. Pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di mana pesawat itu terhempas dua minit sebelum mendarat.
Pesawat yang terlibat dalam kejadian itu merupakan sebuah Beechcraft Model 390 (N28JV) yang dikendalikan oleh Jet Valet, sebuah perkhidmatan penerbangan peribadi. Sebelum ini, ia pernah didaftarkan sebagai G-FRYL di United Kingdom. Pesawat itu membawa 8 orang penumpang, termasuk Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Pelangai).
Pada jam 2.47 petang, pesawat itu berhubung dengan kawalan trafik udara (ATC) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Ia kemudiannya memberi kebenaran pendaratan seminit kemudian. Namun begitu, pada jam 2.51 petang, pihak ATC menemui garisan asap di laluan penerbangan.
Pihak saksi melaporkan gerakan penerbangan luar kelaziman sebelum nahas. Pesawat itu membelok ke kanan sebelum menjunam ke tanah lalu meletup di jalan Persiaran Elmina, berhampiran dengan persimpangan Lebuhraya Guthrie. Di darat, serpihan nahas juga mengorbankan 2 orang, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta. Penunggang motosikal yang terbakar dilaporkan sempat melaungkan takbir beberapa kali sebelum rentung, menurut seorang saksi.
Hanya satu mayat ditemui dalam keadaan sempurna di tapak kejadian. Lima beg mengandungi cebisan-cebisan badan mangsa yang terbunuh juga diperoleh di kawasan kejadian. Pengenalpastian mayat melibatkan 20 ke 30 ahli Kementerian Kesihatan yang juga memberi perkhidmatan kaunseling dan sokongan emosi terhadap ahli keluarga mangsa.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat tapak nahas beberapa jam selepas kejadian.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan amaran berkenaan dengan perkongsian sebarang video dan gambar mayat-mayat mangsa yang terkorban di tempat kejadian secara atas talian, dikhuatiri perbuatan tersebut akan menyinggung perasaan ahli-ahli keluarga mangsa dan melanggar etika-etika asas. Kenyataan yang sama turut dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia.
Bekas Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad berkata:
Saya ikuti berita insiden pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam yang mengorbankan 10 nyawa semalam. Dilaporkan pesawat ini dalam perjalanan pulang dari Langkawi dan sudah hampir mendarat di Lapangan Terbang Subang.
Hasmah dan saya berasa amat sedih dengan tragedi malang ini. Kami mendoakan semoga roh kesemua mangsa yang terkorban ditempatkan bersama para solehin. Serta salam takziah kami kepada semua ahli keluarga mereka.
Perakam suara kokpit pesawat diperoleh dari tapak kejadian tujuh jam selepas nahas pada 10.20 malam, dan dibawa ke makmal Biro Siasatan Kemalangan Udara bagi tujuan siasatan.
Pihak BSKU mendapati bahawa pesawat itu tidak dilengkapi dengan kotak hitam. Pesawat tersebut didapati lari dari laluan penerbangan asalnya setelah diberi kebenaran untuk mendarat oleh pihak ATC.