Lampu jalan merupakan punca cahaya yang ditinggikan di tepi jalan raya, yang akan menyala pada waktu tertentu pada setiap malam. Lampu jalan moden dihidupkan sama ada dengan menggunakan suis peka cahaya ataupun suis pemasa supaya ia boleh dinyalakan pada waktu senja atau semasa cuaca gelap, serta dimatikan pada waktu subuh. Lampu jalan boleh dipasang sama ada pada tiang lampu khas ataupun pada tiang elektrik.
Terdapat dua kaedah utama bagi menghidupkan lampu jalan, iaitu sama ada dengan menggunakan suis peka cahaya ataupun dengan menggunakan suis pemasa. Di Malaysia, suis peka cahaya digunakan untuk menghidupkan lampu jalan individu yang dipasang pada tiang elektrik di kawasan luar bandar, di mana ia dibilkan kepada pengguna secara kadar rata (flat rate) berikutan ketiadaan meter elektrik.
Bagi kawasan bandar pula, lampu jalan dihidupkan dengan menggunakan suis pemasa di dalam satu kotak khas yang turut menempatkan meter elektrik. Suis peka cahaya turut ditempatkan untuk menghidupkan lampu jalan sekiranya suis pemasa gagal berfungsi ataupun semasa cuaca gelap. Lampu jalan dipasang sama ada pada tiang lampu ataupun pada tiang elektrik. Lampu jalan di kawasan bandar yang dipasang pada tiang elektrik disambungkan ke wayar neutral serta ke wayar lampu jalan. Bagi lampu jalan yang dipasang pada tiang lampu, sambungan lampu jalan dilakukan melalui kabel bawah tanah.
Untuk menerangi kawasan jalan raya luar bandar yang jauh daripada sumber bekalan elektrik, terdapat juga lampu jalan yang menggunakan panel solar bagi mengecas bateri yang membekalkan tenaga elektrik kepada lampu jalan tersebut serta dihidupkan dengan menggunakan suis peka cahaya.
Lazimnya, syarikat pembekal elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) sering dianggap sebagai pemilik utama lampu jalan. Sebenarnya, bukan semua lampu jalan terletak di bawah bidang kuasa syarikat pembekal elektrik. Terdapat juga lampu jalan yang terletak di bawah bidang kuasa pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat konsesi lebuh raya.
Selalunya, syarikat pembekal elektrik memasang lampu jalan sebagai nilai tambah kepada pengguna di kawasan kediaman. Lampu jalan seliaan Tenaga Nasional Berhad dipasang pada tiang elektrik dan disambungkan pada wayar hidup khas serta wayar neutral. Wayar hidup tersebut disambungkan ke kotak meter elektrik yang turut menempatkan suis pemasa dan suis peka cahaya dan disambungkan ke talian fasa hidup dan neutral sebagaimana sambungan rumah kediaman biasa. Lampu jalan yang dipasang pada tiang khas besi galvani serta disambungkan melalui kabel bawah tanah tidak terletak di bawah seliaan TNB, sebaliknya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, JKR atau syarikat konsesi lebuh raya.
Kebaikan utama pemasangan lampu jalan termasuklah peningkatan tahap keselamatan jalan raya serta penurunan kadar jenayah.
Kajian telah membuktikan bahawa keadaan gelap telah menjadi antara penyumbang utama kepada jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi, terutamanya yang melibatkan pejalan kaki; pejalan kaki adalah 3 hingga 6.75 kali lebih berisiko berdepan kemalangan jalan raya semasa gelap berbanding semasa terang. Lampu jalan didapati berupaya mengurangkan kemalangan melibatkan pejalan kaki sehingga lebih kurang 50%.
Selain itu, persimpangan searas serta persimpangan bertingkat yang dipasang lampu jalan didapati kurang cenderung berlaku kemalangan berbanding persimpangan searas serta persimpangan bertingkat yang gelap dan tidak dipasang lampu jalan.
Sistem pencahayaan yang sangat baik mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya yang melibatkan jenayah harta-benda seperti samun, ragut, curi kenderaan serta pecah masuk kediaman. Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, pemasangan lampu jalan terbukti mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya di kawasan bandar dan perumahan.
Kritikan utama terhadap penggunaan lampu jalan ialah dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya jika disalah guna, serta boleh menyebabkan pencemaran cahaya.
Terdapat dua fenomena optikal utama yang perlu diambil perhatian semasa memasang lampu jalan.
Terdapat juga bahaya fizikal akibat penggunaan lampu jalan. Tiang lampu menimbulkan risiko kemalangan kepada pemandu. Ia boleh dikurangkan dengan mereka bentuknya supaya mudah remuk apabila dilanggar, melindunginya dengan rel pengadang, serta mengecat bahagian bawah tiang supaya lebih mudah dilihat. Angin kencang serta kelesuan tiang juga boleh menyebabkan tiang lampu tumbang.
Di kawasan bandar, pencemaran cahaya menyebabkan bintang tidak dapat dilihat sekaligus mengganggu kajian astronomi. Di kawasan berhampiran teleskop astronomi serta balai cerap, lampu natrium bertekanan rendah digunakan. Lampu sebegini mempunyai kelebihan berbanding lampu jenis lain seperti lampu raksa atau logam halida berikutan lampu natrium bertekanan rendah menghasilkan cahaya monokromatik berkeamatan rendah. Balai cerap boleh menapis panjang gelombang natrium di luar pencerapan mereka serta melenyapkan gangguan daripada pencahayaan bandar berhampiran secara maya.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Lampu jalan. |