Tarikh | 14 September 2017; 6 tahun yang lalu |
---|---|
Masa | 5:10 pagi (WPM) |
Lokasi | Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, Malaysia |
Koordinat | 3°10′08″N 101°43′58″E / 3.1688°N 101.7328°EKoordinat: 3°10′08″N 101°43′58″E / 3.1688°N 101.7328°E |
Penyebab | Pembakaran sengaja yang bermula daripada ejek-ejekan antara pihak suspek dengan penghuni tahfiz kerana terlihat suspek menghisap dadah. |
Kematian | 23 |
Kecederaan | 5 |
Suspek | 7 |
Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Pada 14 September 2017, kira-kira jam 5.10 pagi, satu kejadian kebakaran telah berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, iaitu sebuah madrasah tahfiz lelaki di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, yang menyebabkan 23 orang penghuni yang terdiri daripada 21 orang pelajar dan dua orang guru terbunuh, manakala lima orang penghuni lagi dilaporkan tercedera.
Menurut siasatan polis, insiden bermula apabila berlaku ejek-mengejek antara sekumpulan pelajar tahfiz yang tinggal di sana, dan tujuh orang remaja lelaki bersuai 11 hingga 18 tahun yang menceroboh kawasan berkenaan untuk menghisap dadah, memaksa mereka membakarnya sekaligus. Kesemua suspek juga telah dibuang sekolah akibat pelbagai salah laku disiplin yang serius ketika mereka masih bersekolah. Punca lain yang membawa kepada kejadian ini termasuk serangan mercun ke atas pelajar tahfiz dari madrasah yang sama oleh suspek yang sama dan pertelingkahan antara dua pihak tentang siapa yang akan mengendalikan gelanggang futsal.
Api kebakaran dikatakan bermula di tingkat dua dan teratas bangunan madrasah tersebut. Selepas itu, api tersebut merebak dengan cepat ke seluruh bangunan sehingga menghalang satu-satunya pintu masuk dan menyebabkan penghuni-penghuni madrasah tersebut terperangkap sehingga mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Tambahan pula, tingkap-tingkap di bangunan tersebut dipasang dengan jeriji-jeriji yang menyukarkan kebanyakan penghuni untuk menyelamatkan diri masing-masing. Saksi-saksi berdekatan melaporkan bahawa mereka terbangun pada awal waktu subuh setelah terdengar tangisan para pelajar yang terperangkap di dalam bangunan madrasah tersebut dan cuba menyelamatkan penghuni yang terperangkap namun tidak dapat berbuat demikian kerana api merebak dengan sungguh pantas. Penghuni yang terselamat pula dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat terus ke atas tanah sementara yang lain pula melalui saluran paip air pada bangunan tersebut. Api kebakaran akhirnya berjaya dipadamkan oleh pihak bomba pada kira-kira jam 6.40 pagi.
Seramai 23 orang yang terbunuh dalam insiden ini, kebanyakannya pelajar dan dua orang guru. Nama dan umur mereka seperti yang tertera di bawah:
Siasatan telah dijalankan oleh pihak polis dan bomba bagi mencari dan mengenal pasti punca kebakaran. Pada awalnya, pihak bomba mengatakan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas. Namun, setelah siasatan penuh dilakukan dan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdekatan diteliti, beberapa orang suspek dikenal pasti menceroboh kawasan bangunan PPIM sebelum ke kawasan madrasah tahfiz tersebut yang bersebelahan pada pukul 3.10 pagi. Melalui rakaman CCTV lain yang diambil dari lima buah stesen minyak terdekat pula, terdapat kelibat dua orang lelaki mencurigakan menaiki motorsikal Yamaha Lagenda membeli minyak petrol pada jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.
Pada 16 September 2017, tujuh orang suspek yang dikenal pasti terlibat dengan kebakaran tersebut telah ditahan di lokap Balai Polis Jinjang, manakala mangsa yang terselamat pula ditahan di khemah Kementerian Pertahanan yang terletak di luar madrasah sebelum ditempatkan di premis rahsia di sekitar Keramat pada hari sebelumnya, 15 September 2017. Bilangan yang terselamat turut dirahsiakan pada awalnya, dan hanya waris terdekat sahaja dibenarkan masuk. Langkah ini bertujuan melindungi mangsa daripada didekati oleh pihak luar.
Menurut satu sidang khas oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, suspek-suspek dipercayai bertindak membakar pusat tahfiz tersebut akibat perasaan dendam yang muncul daripada insiden ejek-ejekan antara penghuni tahfiz dengan pihak suspek. Menurut beliau, enam daripada tujuh orang suspek disahkan positif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kesalahan merusuh dan mencuri kenderaan. Suspek-suspek tersebut berumur antara 11 hingga 18 tahun.
Insiden kebakaran ini telah mendapat perhatian yang amat meluas dalam kalangan pihak kerajaan, orang awam dan juga pihak luar negara.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi merupakan yang terawal tiba di kawasan kejadian pada waktu petang hari kejadian. Beliau telah menyebut tentang masalah kekurangan kawalan dan latihan pusat-pusat tahfiz yang menyebabkan pelbagai insiden yang melibatkan pusat tahfiz seperti kejadian kebakaran dan penderaan serta pembukaan madrasah dan pelantikan ustaz tanpa kelayakan yang sah.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula melahirkan rasa kesal kerana insiden itu seolah-olah menunjukkan bahawa tiada pengajaran yang diambil daripada insiden yang serupa pada tahun 1989.
Selain Malaysia, kebakaran ini juga mendapat perhatian pihak media antarabangsa seperti AFP, BBC, CNN, The Telegraph dan Hindustan Times. Perbadanan berita Al-Jazeera pula menyifatkan insiden tersebut sebagai "kebakaran paling dahsyat dalam beberapa dekad di Malaysia". Pihak-pihak media lain seperti NHK dan Deccan Herald turut melaporkan kebakaran tersebut.